Astro kekal komited untuk terus membawakan inovasi dan nilai terbaik kepada pelanggan serta para pemegang saham. Selama lebih dua dekad, Astro amat berbesar hati kerana telah menjadi penyiar rasmi Piala Dunia FIFA dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pelanggan yang sentiasa bersama kami sepanjang perjalanan sebagai Home of the World Cup.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, industri kandungan premium khususnya sukan telah mengalami perubahan yang ketara. Tekanan kos akibat inflasi global, ditambah dengan peningkatan berterusan kos hak penyiaran sukan antarabangsa telah menjadikan jumlah pelaburan dalam kandungan sukan semakin tinggi.
Advertisement
Dalam masa yang sama, aktiviti cetak rompak yang semakin berleluasa terus menjejaskan nilai komersial hak penyiaran kepada semua platform sah dalam industri. Malah, Piala Dunia FIFA 2018 dan 2022 merupakan antara acara sukan yang banyak dicetak rompak di Malaysia. Selain itu, jadual perlawanan serta tempoh persediaan yang terhad untuk merancang kempen bersama rakan komersial turut memberi kesan kepada nilai komersial kejohanan tersebut sekali gus menyukarkan justifikasi pelaburan yang munasabah kepada pemegang saham tanpa memberi kesan kepada harga untuk pelanggan.
Walaupun Astro kecewa dengan keputusan bidaan kompetitif yang dikemukakan bagi hak penyiaran Piala Dunia FIFA tidak diterima, kami tetap bersukacita kerana kejohanan bola sepak paling berprestij dunia itu akan terus dapat dinikmati oleh peminat di Malaysia. Ketika kami menyerahkan kesinambungan penyiaran kepada penyiar baharu, kami mendoakan kejayaan mereka dalam membawakan kemeriahan Piala Dunia FIFA 2026 kepada rakyat Malaysia.
Pada masa sama, Astro kini sedang berbincang dengan pemegang hak penyiaran rasmi bagi meneroka peluang untuk turut menyiarkan perlawanan Piala Dunia FIFA menerusi platform kami termasuk Astro, NJOI dan Sooka. Ini diharapkan dapat memperluas capaian dan akses kepada jutaan rakyat Malaysia sama ada di rumah, premis perniagaan mahupun menerusi peranti mudah alih. Astro juga terus komited dalam menyemarakkan minat rakyat terhadap sukan menerusi gabungan liputan liga antarabangsa utama, kejohanan tempatan serta kandungan tempatan yang dekat dengan jiwa rakyat Malaysia.
Astro kekal sebagai destinasi peminat sukan tanah air. Sebagai Home of Sports, kami akan terus membawakan liputan meluas acara sukan paling popular dunia termasuk Premier League, AFC dan UEFA Champions League, Formula 1, MotoGP, Wimbledon, La Liga, Bundesliga, kejohanan badminton antarabangsa utama serta pelbagai kejohanan tenis bertaraf dunia. Kesemua acara ini mencerminkan komitmen berterusan Astro dalam membawakan detik-detik sukan bertaraf dunia dan pengalaman yang menyatukan rakyat Malaysia.
Dalam masa yang sama, Astro turut memberi penekanan lebih besar terhadap pembangunan sukan tempatan daripada akar umbi hingga ke peringkat kebangsaan dan serantau. Kami akan terus melabur dalam pembangunan atlet Malaysia serta mengetengahkan kejohanan tempatan Untuk Siaran Segera termasuk Final Piala Malaysia, BWF Malaysia Masters, Sukan Asia 2026, Sepak Takraw League (STL), Netball Super League (NSL), SUKMA Selangor dan pelbagai lagi acara sukan utama negara.
Lebih daripada sekadar liputan kejohanan, Astro juga berbangga dapat memainkan peranan secara lebih menyeluruh menerusi penganjuran klinik pembangunan belia dan akar umbi yang memberi fokus kepada latihan, pembangunan kemahiran serta menyemai minat mendalam terhadap sukan seperti badminton, bola jaring dan sepak takraw, di samping memperkasa generasi atlet masa depan Malaysia melalui pendekatan yang lebih holistik.
Dengan mengetengahkan kisah-kisah tempatan dan meraikan pencapaian atlet negara, Astro berharap dapat terus menyemarakkan semangat kebangsaan serta mengukuhkan hubungan antara peminat dan wira sukan tanah air.