Atlet biathlon Ukraine, Maksym Murashkovskyi mencuri perhatian ramai apabila mengakui menggunakan ChatGPT sebagai persediaan latihannya selepas memenangi pingat perak dalam temasya Sukan Paralimpik Musim Sejuk Milano Cortina.
Murashkovskyi, yang beraksi dalam acara biathlon individu lelaki kategori cacat penglihatan berkata, teknologi kecerdasan buatan itu memainkan peranan besar kepadanya sepanjang enam bulan latihan.
Advertisement
“Selama enam bulan terakhir, saya berlatih bersama ChatGPT.
“Ia bukan sekadar membantu dari segi taktik, malah separuh daripada pelan latihan dan motivasi juga banyak datang daripadanya.
“Saya gunakannya sebagai seorang ahli psikologi, jurulatih dan kadang-kadang seperti doktor,” katanya.
Murashkovskyi yang dibimbing oleh Vitaliy Trush menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang atlet China, Dang Hesong.
Bagaimanapun, dia percaya teknologi kecerdasan buatan (AI) tidak akan pernah sepenuhnya menggantikan jurulatih manusia dalam jangka masa panjang.
“Tidak boleh mengubah sepenuhnya dalam lima hingga 10 tahun akan datang, tetapi sebahagiannya pasti,” katanya.
Ukraine kini berada di kedudukan kedua carta pingat temasya itu selepas memenangi 10 pingat, termasuk tiga emas, dengan kesemuanya hadir menerusi acara para-biathlon.