Bapa kepada bintang bola sepak Brazil, Neymar Jr, tampil menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Carlo Ancelotti, yang tidak menyenaraikan penyerang itu bagi aksi persahabatan menentang Perancis dan Croatia.
Ketiadaan Neymar dalam senarai terbaru jelas menimbulkan persoalan banyak pihak, dengan bapa Nemar menerusi laman media sosial menyampaikan mesej sokongan yang turut membayangkan rasa kecewa terhadap keputusan Ancelotti itu.
Advertisement
“Tidak semua perkara berlaku seperti yang kita mahukan, tetapi semuanya mempunyai tujuan.
“Kini, masa untuk terus memandang ke hadapan, fokus kepada masa kini dan melakukan apa yang kamu cintai. Kita perlu melalui proses ini,” katanya dalam hantarannya itu.
Kenyataan itu ditafsir sebagai tanda kekecewaan jelas terhadap pengguguran Neymar daripada skuad Canarinha, lebih-lebih lagi pemain berusia 34 tahun itu sudah kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan.
Namun, di sebalik reputasi besar dimiliki, Neymar dilihat masih belum mencapai tahap prestasi terbaik untuk bersaing di pentas tertinggi.
Daripada lima pemilihan skuad yang dibuat Ancelotti setakat ini, nama Neymar langsung tidak tersenarai.
Jika sebelum ini ketiadaannya berpunca daripada kecederaan, situasi kali ini lebih menjurus kepada faktor prestasi semasa.
Jurulatih kelahiran Itali itu dilaporkan mahu membina pasukan yang lebih mantap menjelang Piala Dunia, dengan keutamaan diberikan kepada pemain yang benar-benar cergas serta berada pada tahap prestasi optimum.
Pendekatan itu jelas menggambarkan bahawa reputasi semata-mata tidak lagi menjamin tempat dalam skuad kebangsaan.
“Tiada siapa dipilih atas nama semata-mata. Prestasi, rentak permainan dan konsistensi menjadi ukuran utama,” menurut satu laporan media tempatan.
Sejak mengambil alih Brazil, Ancelotti merekodkan empat kemenangan, dua keputusan seri dan dua kekalahan daripada lapan perlawanan.
Bagaimanapun, peluang Neymar untuk kembali menyarung jersi kebangsaan belum tertutup sepenuhnya.
Pengumuman skuad seterusnya bagi aksi menentang Panama dan Mesir pada hujung Mei serta awal Jun dilihat bakal menjadi penentu sama ada dia masih relevan dalam perancangan Brazil menjelang Piala Dunia.