Bekas jurulatih Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) bawah 17 tahun (B-17), Amirizdwan Taj Tajuddin, melihat tiada istilah sukar untuk barisan pemain Shukor Adan untuk memastikan slot ke Piala Asia 2027 menjadi milik mereka.
Pendedahan yang diberikan kepada skuad kali ini dilihat cukup baik dengan rencana dua kali perlawanan persahabatan bersama skuad B-17 Indonesia, selain Kejohanan Supermokh yang diubah formatnya menerusi jemputan pasukan luar seperti mana yang telah dikongsikan Pengarah Teknikal NFDP, Datuk Ong Kim Swee, minggu lalu.
"Kita kena optimis dan yakin dengan persiapan pasukan.
"Ada lebih kurang tiga bulan lagi sebelum kelayakan bermula.
"Perlu ada lebih persediaan rapi supaya pemain dapat beradaptasi dengan peringkat Asia," katanya di Nadi Arena.
Pelapis Harimau Malaya itu pernah layak secara merit di bawah kendalian jurulatih, Osmera Omaro, yang juga menampilkan Amirizdwan sebagai jurulatih sokongan ketika itu.
Pendedahan yang diberikan kepada skuad 2023 tidak sama seperti yang telah dibuat untuk persediaan skuad terkini, namun pasukan itu berjaya mencetus kejutan menerusi status layak secara merit tiga tahun lalu.
"Sejujurnya, kita tidak mendapat banyak pendedahan peringkat antarabangsa.
"Kita hanya banyak persiapan dalam negara.
"Jika kita menentang negara luar, banyak yang boleh dipelajari," tambahnya.