Presiden Persatuan Sukan Bermotor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PSBWPKL), Shahrol Yuzy, meminta bantuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memberi penghargaan dengan imbuhan berbentuk insentif.
Dalam perkongsian bersama wartawan Astro Arena, Faizal Bazari, Yuzy mngakui dia sudah menghantar surat kepada KBS untuk mempertimbangkan pemberian Skim Hadiah Kemenangan Atlet Kebangsaan (SHAKAM) kepada pelumba sensasi Malaysia yang bertanding dalam Kejohanan Dunia MotoGP itu.
Melalui permohonan itu, Yuzy memohon agar satu mekanisme atau pindaan dasar dapat dipertimbang supaya kemenangan podium, perlumbaan serta kejuaraan dunia dalam mana-mana kategori antara MotoGP, Moto2 dan Moto3 layak menerima insentif SHAKAM .
Yuzy juga mempercayai bahawa pengiktirafan itu dapat meningkatkan motivasi atlet negara selain menarik lebih ramai penaja serta memperkukuhkan pembangunan sukan permotoran negara dan meletakkan Malaysia sebaris dengan negara lain yang mempunyai pencapaian gemilang dalam sukan permotoran.
"Kami menunggu respons daripada KBS.
"Kami berharap kejayaan pelumba negara di pentas dunia dihargai.
"Ia, sekali gus boleh memberi motivasi supaya kekal cemerlang. Saya pasti KBS akan mengambil kira perkara ini," katanya.