Skuad negara dibawah Program Podium tidak tertumpu untuk memburu pingat Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan dari 8 hingga 12 Jun depan, sebaliknya lebih kepada mendapatkan suasana perlumbaan kompetitif.
Menurut jurulatih berbasikal trek negara, Edrus Yunos, keadaan semasa pelumba bukan dalam keadaan terbaik memandangkan mereka kini di dalam fasa latihan yang mengkhususkan aspek fizikal sebagai persediaan menghadapi Sukan Komanwel Glasgow pada bulan depan.
"Sasaran terdekat kami adalah Sukan Komanwel dan fokus atlet negara ketika ini adalah membina kekuatan.
"Selepas program ini mereka akan melalui had kelayakan Sukan Komanwel pula," katanya di Nadi Arena.
Memasuki fasa yang telah berlangsung selama dua minggu, proses membina semula kekuatan fizikal menjadi fokus utama menerusi latihan angkat berat di gimnasium serta dril kayuhan menggunakan gear besar di trek.
"Ini fasa latihan paling berat (gunakan gear besar).
"(Buat masa ini) mereka hanya fokus latihan di gimnasium dan trek bagi membina kekuatan," katanya.