Bekas penyerang kebangsaan, Amri Yahyah, meletakkan harapan agar barisan baharu Harimau Malaya mampu memecahkan kebuntuan 16 tahun tanpa sebarang kejuaraan menerusi Piala ASEAN Hyundai 2026.
"kita dah lama tak merasa piala," demikian kata juara Piala AFF 2010 itu sambiltidak menafikan landskap bola sepak negara ketika ini masih belum sempurna.
Namun, Amri berharap situasi tersebut tidak akan menjejaskan fokus serta persiapan skuad kebangsaan menjelang kejohanan penting itu.
"Tampak sukar tapi tidak boleh dianggap begitu.
"Dengan bakat tempatan terbaik dan pemain dari luar yang dirakyatkan untuk negara kita jadi saya harap gabungan ini memberi suntikan semangat buat negara.
"Kita harus beri sokongan kepada pasukan negara dengan satu semangat yang tinggi.
"Dengan kemenangan di peringkat antarabangsa, sebagai rakyat Malaysia saya mengharapkan kejuaraan dan pasukan baru di dalam FAM mampu memberikan sesuatu buat negara," katanya yang ditemui dalam Majlis Football Fever, yang membawa visi untuk memeriahkan suasana menjelang Piala Dunia 2026 menerusi pelbagai kerjasama termasuk penghasilan produk bola sepak yang lebih mampu milik dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat.