Tonggak tengah Kuching City, Petrus Shitembi, menjangkakan perlawanan sukar menanti mereka menjelang perlawaan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2025/26 menentang Selangor di Petaling Jaya, Ahad ini.
Sedar akan kredibiliti yang dimiliki Gergasi Merah, perancang utama The Cats itu bagaimanapun mempercayai pasukannya sudah siap sedia untuk memburu bekalan selesa sebelum aksi timbal balik yang dijadual berlangsung 18 April depan.
Advertisement
Tonggak kelahiran Namibia itu turut memasang impian untuk membawa pasukannya mara ke pentas final Piala Malaysia buat julung kalinya dalam sejarah penubuhan kelab sejak 2015.
"Persiapan berjalan lancar.
🗣️ 'Of course we want to go to the final...- Petrus Shitembi, 3 bantuan gol Piala Malaysia 2025/2026 🟢⚪🔴@ASTROARENA pic.twitter.com/mPWlE9RBU1
— Fadhirul Shuhaimi (@FadhirulS) April 3, 2026
"Usai kembali daripada musim perayaan, pihak kejurulatihan telah bertungkus lumus mengembalikan prestasi pasukan.
"Kami sangat bermotivasi tinggi. Ia, adalah perlawanan yang besar.
"Selangor memiliki pemain yang bagus. Sebab itu mereka berada di tempat kedua Liga Super sekarang.
"Kami mahu mara ke final. Tetapi, kami perlu fokus terhadap aksi ini dahulu.
"Secara jujurnya sudah tentu kami mahu memenangi kejuaraan Piala Malaysia, namun paling penting adalah untuk mara ke final terlebih dahulu," katanya di Nadi Arena.