Kelab yang dipandang kerdil sebelum ini, Bodo/Glimt terus cemerlang dalam kempen debut sensasi mereka di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) apabila menewaskan Sporting CP 3-0 pada aksi pertama pusingan 16 terbaik di Stadium Aspmyra, awal pagi tadi.
Kemenangan tersebut menyaksikan Bodo mencatat lima kemenangan berturut-turut dalam kejohanan berprestij Eropah itu, sekali gus meletakkan mereka di landasan tepat untuk mara ke suku akhir.
Advertisement
Pasukan tuan rumah membuka jaringan pada minit ke-32 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Sondre Brunstad Fet selepas dia dijatuhkan pemain Sporting, Georgios Vagiannidis di dalam kotak penalti.
Bodo kemudian menggandakan kelebihan menjelang tamat babak pertama apabila Ole Didrik Blomberg menyudahkan peluang yang diperolehi dengan tenang sebelum meraikan jaringan tersebut dengan aksi akrobatik ‘backflip’.
Gol ketiga hadir pada minit ke-71 menerusi Kasper Hogh yang mudah menolak masuk hantaran rendah Blomberg daripada jarak dekat, sekali gus menjadi gol kelima peribadinya dalam lima perlawanan UCL musim ini.
Sebelum itu, Sporting hampir mencipta peluang terbaik menerusi Luis Guilherme, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Bodo, Nikita Haikin.
Walaupun menguasai lebih banyak penguasaan bola pada separuh masa kedua, Sporting terus buntu mencipta peluang berbahaya dalam usaha merapatkan jurang jaringan.
Kemenangan tersebut menjadi lagi satu koleksi kejutan dicipta Bodo dalam kempen UCL selepas sebelum ini mereka telah menewaskan beberapa lagi kelab gergasi Eropah seperti Manchester City, Atletico Madrid dan Inter Milan.
Kini, kelab Norway itu berada dalam kedudukan terbaik menjelang aksi timbal balik di Portugal minggu hadapan, di mana mereka berpotensi bertemu sama ada Bayer Leverkusen atau Arsenal di suku akhir.
Sporting pula berdepan tugas sukar untuk bangkit selepas kekalahan besar itu dan perlu menampilkan kebangkitan luar biasa sekiranya mahu melangkah ke suku akhir buat kali pertama sejak tahun 1983.