Selepas melalui prestasi yang kurang memberangsangkan dalam beberapa kejohanan sebelum ini, Persatuan Orang Pekak Sarawak (SSDeaf) akhirnya berjaya mengenal pasti faktor utama yang menjejaskan prestasi pasukan.
Menjelang Kejohanan Bowling Orang Pekak Kebangsaan Edisi Kesembilan, SSDeaf kembali dengan azam baharu untuk memburu gelaran juara buat kali kelima.
Menurut pengurusan pasukan, antara punca utama yang sering mengganggu rentak pemain ialah perbezaan corak ‘oiling’ di lorong bowling antara sesi latihan dan pertandingan sebenar.
Keadaan itu menyebabkan pemain mengambil masa untuk menyesuaikan diri setiap kali kejohanan berlangsung, sekali gus menjejaskan konsistensi persembahan.
Berdasarkan penilaian tersebut, SSDeaf kini mengambil langkah lebih proaktif dengan menggunakan corak oiling yang sama seperti ditetapkan dalam pertandingan ketika menjalani latihan.
Pendekatan itu diharap dapat membantu pemain menyesuaikan diri lebih awal dengan keadaan sebenar gelanggang, sekali gus meningkatkan keyakinan dan ketepatan balingan apabila kejohanan bermula.
Dengan persiapan yang lebih terancang dan penyelesaian terhadap isu teknikal yang sebelum ini menghantui pasukan, SSDeaf optimis mampu kembali memberi saingan sengit dan merealisasikan misi merangkul kejuaraan kelima di pentas kebangsaan.