Acara womens pairs menyaksikan dua slot separuh akhir diisi wakil negara hasil kemenangan yang diraih dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Kejohanan Boling Padang Jemputan 7 Negara, hari ini.
Gandingan Malaysia C, Nur Syafira Muhammad Redzuan dan Nurul Balqis Anisha Bakar, mengenepikan cabaran wakil Singapura sementara Aleena Nawawi dan Alyani Jamil mengatasi Ruparani Tirkey-Manupal dari India.
Advertisement
Tampil selaku 'underdog' di Stadium Juara, Bukit Kiara, Nur Syafira dan Nurul Balqis Anisha menyifatkan aksi hari ketiga mengajar mereka bagaimana untuk terus fokus dengan balingan yang konsisten meskipun berdepan tekanan.
Ia susulan prestasi merosot secara mendadak dalam set kedua, sekali gus menghadiahkan kemenangan buat lawan dan membuka peluang mereka mengheret permainan ke tiebreak.
"Kami tidak mudah menyerah kalah, kami bangkit dalam aksi penentuan untuk melengkapkan tiga kemenangan dalam peringkat kumpulan.
"Kesilapan daripada kami sendiri selepas memenangi set pertama membuatkan saya agak hilang arah dalam set kedua.
"Kami akan buat sehabis baik dari hari ini untuk layak ke final," kata Nurul Balqis Anisha dalam Kejohanan yang dibawakan khas oleh Yayasan Sime Darby dan Persekutuan Lawn Bowls Malaysia itu.
Tambah Nur Syafira, "Saya ambil masa ketika tie break. Rakan sepasukan tidak beri tekanan dan saya juga cuba menolongnya."