Skip to main content

Bola Sepak

Carrick hampir pasti dilantik bos tetap Manchester United

Carrick hampir pasti dilantik bos tetap Manchester United

Legenda Manchester United, Michael Carrick, dilaporkan semakin hampir untuk dilantik secara tetap sebagai ketua jurulatih kelab selepas berjaya mengubah prestasi skuad sejak mengambil alih tugas secara interim awal tahun ini.

Menurut beberapa laporan media di England, pihak pengurusan United kini bersedia memulakan rundingan rasmi bersama Carrick susulan impak positif yang dibawanya sepanjang mengendalikan pasukan.

Advertisement

Di bawah kendalian bekas pemain tengah England itu, United berjaya melonjak semula dalam saingan liga domestik dan mengesahkan slot ke UEFA Champions League musim depan.

Sejak mengambil alih pasukan selepas pemergian Ruben Amorim pada Januari lalu, Carrick berjaya membawa perubahan besar apabila United mengumpul mata tertinggi dalam liga sepanjang tempoh tersebut.

Prestasi itu nyata membuka mata pengurusan tertinggi kelab termasuk Ketua Pegawai Eksekutif, Omar Berrada dan Pengarah Bola Sepak, Jason Wilcox, yang dilaporkan menyokong penuh pelantikan Carrick secara kekal.

Selain keputusan di atas padang, Carrick turut dipuji kerana berjaya mengembalikan keyakinan pemain utama seperti Bruno Fernandes dan Kobbie Mainoo selain mewujudkan suasana lebih positif di bilik persalinan Old Trafford.

Malah, laporan turut menyebut United tidak lagi aktif berbincang dengan calon luar, sekali gus memberi bayangan jelas bahawa Carrick kini menjadi pilihan utama untuk menerajui projek jangka panjang kelab.

Carrick, 44, bukan nama asing di Old Trafford selepas pernah menikmati era gemilang sebagai pemain dengan memenangi pelbagai trofi utama termasuk Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah sepanjang bersama United.

Jika pelantikan itu dimuktamadkan, Carrick bakal memulakan era baharu buat Manchester United dengan harapan mengembalikan semula status kelab sebagai pencabar utama di pentas domestik dan Eropah.

Must Watch Video