Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Challenge Cup: The Rhinos mahu bawa bekalan selesa ke Likas

Challenge Cup: The Rhinos mahu bawa bekalan selesa ke Likas

Pengendali baharu Sabah FC, Juan Torres Garrido, menegaskan tumpuan penuh pasukannya kini terarah kepada aksi separuh akhir pertama MFL Challenge Cup menentang Perak FA di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam ini.

Menurut jurulatih dari Sepanyol itu, walaupun bakal turun beraksi di gelanggang lawan, pendekatan Sabah tidak berubah, iaitu kekal berpegang kepada prinsip ‘satu perlawanan pada satu masa’.

Advertisement

“Kami perlu meneruskan proses membina pasukan yang konsisten. Fokus kami hanya kepada perlawanan seterusnya,” katanya.

Garrido mengakui jadual perlawanan yang padat selain tempoh latihan singkat menjadi cabaran utama buat skuad kendaliannya ketika ini.

Namun, beliau memuji kesungguhan dan disiplin tinggi para pemain yang terus bekerja keras demi mencapai sasaran yang ditetapkan.

“Kami berdepan jadual yang sangat ketat, tetapi para pemain terus menunjukkan komitmen tinggi untuk bersama mencapai objektif pasukan,” katanya lagi.

Mengulas mengenai kekuatan Perak, beliau menyifatkan pasukan itu sebagai lawan yang cukup berdisiplin dan tersusun dari segi taktikal, selain memiliki ancaman besar menerusi serangan balas pantas.

“Berdasarkan analisis kami, mereka sebuah pasukan yang teratur dan baik dari segi taktikal. Mereka juga berbahaya jika diberi ruang untuk melakukan transisi pantas,” ujarnya.

Menyentuh soal tekanan beraksi di pentas separuh akhir, Garrido menegaskan pengalaman dan kekuatan mental memang penting, namun semangat juang untuk menang bakal menjadi faktor penentu.

“Kelaparan untuk menang dan keinginan yang tinggi adalah kunci utama,” tegasnya.

Sabah berhasrat mempersembahkan prestasi terbaik dalam aksi pertama malam ini sebelum kembali ke Stadium Likas bagi perlawanan timbal balik minggu hadapan.

Garrido turut berharap penyokong terus berdiri teguh di belakang pasukan dalam usaha merealisasikan impian melangkah ke pentas final.
 

Must Watch Video