Atlético Madrid mempamerkan aksi luar biasa apabila membelasah penyandang juara Copa del Rey, Barcelona 4-0 dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Metropolitano awal pagi tadi.
Gol sendiri Eric Garcia seawal minit ketujuh membuka laluan mudah buat skuad kendalian Diego Simeone sebelum bekas penyerang Barca, Antoine Griezmann, Ademola Lookman dan Julián Álvarez menambah derita pelawat untuk menghadiahkan kelebihan besar menjelang aksi timbal balik di Camp Nou pada 3 Mac depan.
Advertisement
Barcelona, juara 32 kali, tampak goyah sejak awal permainan. Hantaran Garcia yang melantun di permukaan padang gagal dikawal kemas penjaga gol sebelum bola menerjah gawang sendiri. Griezmann kemudian menggandakan kelebihan menerusi penyudah leret hasil gerakan pantas yang memecah benteng pertahanan lawan.
Lookman memastikan malam gemilang tuan rumah dengan jaringan ketiga menerusi kombinasi kemas sepasukan, manakala Álvarez menamatkan kemarau 11 perlawanan tanpa gol apabila menyempurnakan peluang dari dalam kotak penalti untuk gol keempat.
Barcelona cuba bangkit pada babak kedua dan menyaksikan jaringan Pau Cubarsi dibatalkan selepas semakan VAR kerana ofsaid. Situasi semakin buruk apabila Garcia dilayangkan kad merah pada hujung permainan, sekali gus merencatkan peluang kebangkitan pasukan Catalan itu.
Ketinggalan dalam perebutan La Liga dan berdepan cabaran getir di pentas Eropah, Copa del Rey kini menjadi peluang terbaik Atlético Madrid untuk meraih trofi musim ini. Dengan kelebihan empat gol, Rojiblancos kini sudah selangkah ke final menjelang aksi timbal balik di Camp Nou.