Anak jati Sabah, Daved Simpat, mencipta kejutan apabila menidakkan cabaran pelari denai elit Jepun, Yutaro Yokouchi, untuk muncul juara baru kategori 100 kilometer terbuka perlumbaan Cameron Ultra (CULTRA) 2026 di Cameron Highlands awal pagi tadi.
Saingan sengit dipamerkan apabila kedua-dua mereka berlari bersebelahan dan saling pintas-memintas sejak kilometer ke-20.
Bagaimanapun, persaingan di antara dua pelari denai tahap World Series itu dimenangi oleh Daved, yang meningkatkan kelajuannya di 10 kilometer terakhir.
Kejayaan itu menjadi lebih bermakna selepas Daved tidak dapat menghabiskan perlumbaan edisi lalu gara-gara kecederaan.
"Pada 2018 saya juara, 2022 saya dapat tempat kedua, 2024 dan 2025 saya DNF (tidak tamatkan perlumbaan), jadi 2026 saya amat gembira kerana dapat kembali menjadi juara bersempena ulang tahun ke-10 CULTRA," katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.