Skip to main content

Bola Sepak

Gagal ke Piala Dunia, Gattuso letak jawatan ketua jurulatih Itali

gattuso

Tempoh Gennaro Gattuso sebagai ketua jurulatih Itali berakhir malam tadi, tidak lama selepas pasukan kgergasi Eropah itu sekali lagi gagal melayakkan diri ke Piala Dunia.

Itali tewas menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir playoff di Bosnia pada Selasa lalu, yang menyebabkan juara empat kali itu kini terlepas tiga edisi Piala Dunia berturut-turut.

Advertisement

Pemergian Gattuso berlaku sehari selepas Presiden Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC), Gabriele Gravina, meletak jawatan, dan ketua delegasi pasukan kebangsaan, Gianluigi Buffon, turut mengundur diri daripada peranannya.

"Dengan berat hati, setelah gagal mencapai matlamat yang telah kami tetapkan, saya menganggap masa saya mengendalikan pasukan kebangsaan telah berakhir," kata Gattuso dalam satu kenyataan.

"Jersi Azzurri adalah aset paling berharga dalam bola sepak, itulah sebabnya adalah wajar untuk memudahkan penilaian teknikal masa depan berkuat kuasa serta-merta.

"Menjadi satu penghormatan untuk memimpin pasukan kebangsaan dan saya melakukannya bersama sekumpulan anak muda yang telah menunjukkan komitmen serta kesetiaan kepada jersi ini."

FIGC turut mengucapkan terima kasih kepada Gattuso atas sumbangannya.

"Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) dan Gennaro Ivan Gattuso telah bersetuju untuk menamatkan kontrak yang mengikat jurulatih kelahiran Calabria itu sebagai pengendali pasukan bola sepak kebangsaan Itali secara persetujuan bersama," kata FIGC dalam satu kenyataan.

"FIGC berterima kasih kepada Gattuso dan seluruh kakitangannya atas profesionalisme, dedikasi dan semangat yang telah mereka tunjukkan sepanjang sembilan bulan berkhidmat, serta mendoakan kejayaan buat mereka dalam kerjaya masa depan".

 

Must Watch Video