Benarlah kata pepatah inggeris, "behind every great champion is a mother".
Yeoh Suat Khim — sosok penting dalam kehidupan Amir Daniel Abdul Majeed.
Ibu yang bertanggungjawab memastikan Amir jatuh cinta dengan sukan judo ketika baharu berusia 5 tahun.
Ibu yang mendorongnya untuk lebih aktif dalam sukan di usia muda gara-gara masalah berat badannya selain mahu mencipta hobi buat atlet kelahiran Batu Uban, Pulau Pinang itu.

Ibu adalah segalanya buat Amir yang kehilangan ayahnya seminggu sebelum dia memulakan saingan di pentas Sukan SEA Thailand 2025.
Episod duka itu tidak melemahkan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan 8A ini sebaliknya Universiti Rajamangala jadi saksi kemarau 44 tahun Malaysia di Sukan SEA berakhir sebaik pelajar jurusan Biologi Persekitaran Universiti Sains Malaysia (USM) ini mendakap emas pertamanya dalam kategori 81KG.
Kali ini, di Scottish Event Campus (SEC), Glasgow, sekali lagi sejarah manis dilakar atlet judo sensasi negara ini, sebaik menghadiahkan pingat emas sulung Malaysia di Sukan Komanwel selepas dia turut meraih gangsa di penampilan pertamanya di Birmingham 2022.
Walaupun sasaran realistik diletakkan untuk dia raih pingat gangsa di Glasgow ini, namun kata Amir, sasaran peribadi yang tersimpan kemas dalam dirinya adalah untuk membutirkan pingat emas.
Berbekalkan semangat itu, dia tidak gentar menyusun gerakan bertemu jaguh Afrika Selatan, Timothy Meuwsen dan menumbangkan lawannya itu menerusi waza-ari hasil teknik kata-guruma dalam pertarungan selama empat minit sekaligus menghadiahkan emas kelapan Malaysia di Sukan Komanwel.
"Ayah sentiasa percaya saya akan lakukan yang terbaik. Sama seperti ibu. Thanks for believing. Walaupun saya ada mencuba beberapa sukan lain seperti badminton dan memanah, namun 'feeling' tu tak sama macam judo. Sebab itu saya memutuskan untuk meneruskan karier dalam judo dan pasang impian besar dalam sukan ini", kata Amir.
Sumber: Instagram