Pertahanan import Star City, Rafael Vitor, mengakui teruja kembali ke Malaysia selepas semusim beraksi di Liga Brazil bersama Amazonas FC.
Pemain berusia 33 tahun itu pasang impian untuk bantu Star City muncul antara pasukan yang wajar diberikan perhatian musim depan susulan kerjasama erat sepasukan selain kredibiliti yang dimiliki pengendali, Mehmet Durakovic, tidak mustahil mereka mampu cipta kejutan rebut kelompok terbaik Liga Super 2026/2027.
"Sebelum ini saya beraksi untuk lima musim bersama Penang sejak tahun 2020. Kali ini bersama Star City dan gandingan muka baru tempatan dan import diharapkan mampu memberi impak berbeza buat Star City musim ini berbanding musim lalu", kata Vitor kepada wartawan Nadi Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Star City secara rasmi memperkenalkan jersi baharu serta barisan penaja dan rakan strategik mereka di Alor Setar dengan kelab itu mengekalkan beberapa tonggak utama termasuk Nik Akif Syahiran, Rizal Ghazali dan Endrick Dos Santos.
Turut memperkuatkan pasukan, kehadiran pemain tempatan berkualiti seperti Hafizul Hakim, Syahmi Zamri, Fakhri Azri dan Engku Shakir selain pemain import baharu Star City, Rafael Vitor (Brazil), Noah River Leddel (Filipina) dan Pedro Henrique (Brazil) yang dijangka memberi impak besar di musim baharu nanti.
AirAsia diumumkan sebagai Penaja Utama bersama beberapa jenama terkenal lain yang bakal mengukuhkan perjalanan Star City FC dalam saingan Liga Super Malaysia 2026/2027.