Berlaku cubaan rempuhan terhadap pemain. Telefon bimbit kepunyaan pemain dicuri.
Difahamkan, bandar Bandung masih lagi menyambut meraikan kejayaan menjuarai Liga Super Indonesia buat kali ketiga berturut-turut sejak 2023/24.
Namun, situasi perarakan sekitar bandar tersebut bertukar huru-hara berikutan kepadatan peminat yang hadir membanjiri laluan menyebabkan kesesakan lalu lintas, sekali gus melambatkan sambutan yang dinanti-nantikan itu.
Lebih mengejutkan, ada yang menyerbu para pemain dengan tindakan keras meskipun mahu mengambil foto bersama tetapi ia jelas merisaukan pemain yang terpaksa menyelamatkan diri daripada sebarang insiden.
Situasi tersebut mengakibatkan pegawai keselamatan terpaksa melindungi pemain daripada agenda penyokong 'fanatik'.
Detik-detik HP Putros murag & leungit. Nu manggihan harap uihkeun... 🙏 pic.twitter.com/6WxorclyYa
— JUARA!!! (@LalajoPersib) May 24, 2026
Salah seorang bintang Persib Bandung kehilangan telefon bimbitnya tatkala merentasi lautan penyokong dengan video yang tular menyaksikan seorang peminat 'panjang tangan' sempat mencuri barangan peribadi pemain itu.
Mujur tiada pergaduhan besar antara peminat dan pasukan, namun jelas ia sudah meragut detik kegembiraan pemain yang mahu dihargai oleh peminat tetapi harus berdepan segelintir orang ramai yang bersikap tidak matang.
Ini merupakan koleksi trofi kedua buat bekas pengendali skuad kebangsaan bawah 19 tahun (B-19), Bojan Hodak, di bumi Indonesia sejak 2024/25 selaku jurulatih Pangeran Biru.
Pasukan bimbingan bekas jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuala Lumpur (KL) City itu difahamkan akan mengetuai wakil Indonesia sekali lagi ke kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) bagi memperbaiki pencapaian musim ini apabila bergelar juara kumpulan dan mara ke peringkat kalah mati.