Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mengakui tugasan sukar menanti pasukannya menjelang pertemuan menentang gergasi Jepun, Vissel Kobe, dalam perlawanan terakhir Kumpulan A Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), esok.
Harimau Selatan misi hidup mati dengan wajib menang sekiranya mahu melangkah ke pusingan 16 terbaik kejohanan berprestij Asia itu.
Advertisement
“Satu penghormatan bermain dalam pertandingan tertinggi di Asia dan lawan pasukan terkuat dalam kumpulan kita.
"Ini adalah perlawanan kalah mati buat kami.
“Sebagai satu kelab yang kerdil bercita-cita tinggi dan sentiasa ingin mencipta sejarah, ia adalah tanggungjawab kita untuk tunjuk mereka, orang luar negara, 'keramahan Selatan',” kata baginda.
Sejak 2019, JDT hanya berjaya mencatatkan satu kemenangan bertemu kelab Jepun iaitu Kashima Antlers.
Untuk rekod, pertemuan terakhir di antara kedua-dua pasukan menyaksikan Vissel Kobe mencatatkan kemenangan besar 5-1 dengan bintang Sepanyol dan Barcelona, Andrés Iniesta, turut beraksi menewaskan JDT pada 2020.