Skip to main content

Bola Sepak

'Ini saat negara saya perlukan saya' -- penyerang Iran sedia tinggalkan bola sepak demi pertahan negara

Mehdi Taremi mahu tinggalkan eropah, sedia Sertai tentera Iran demi negara

Dunia bola sepak antarabangsa dikejutkan dengan laporan bahawa penyerang sensasi Iran, Mehdi Taremi, mahu meninggalkan karier profesionalnya di Eropah untuk pulang menyertai tentera bagi mempertahankan negaranya.

Taremi yang kini beraksi bersama kelab gergasi Greece, Olympiacos, dilaporkan sudah memaklumkan hasratnya kepada pihak pengurusan kelab. Keputusan itu hadir di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang semakin memuncak melibatkan Iran di pentas antarabangsa.

Advertisement

'Ini saat negara saya perlukan saya'

Menurut laporan media antarabangsa, penyerang berusia 33 tahun itu menyatakan kesediaannya untuk memainkan peranan dalam struktur pertahanan negara. Malah, Taremi dikatakan melihat tanggungjawab mempertahankan tanah air sebagai keutamaan mengatasi karier bola sepaknya ketika ini.

Pegawai daripada Persekutuan Bola Sepak Iran difahamkan sedang berusaha memujuk Taremi agar kekal fokus kepada bola sepak dan meneruskan komitmennya di Eropah. Namun, sumber menyebut pemain itu tetap dengan pendiriannya untuk pulang ke Iran.

Sekiranya keputusan itu menjadi kenyataan, ia bukan sahaja memberi kesan kepada Olympiacos, malah turut menggugat perancangan skuad kebangsaan Iran menjelang kejohanan antarabangsa utama.

Taremi sebelum ini mencipta nama di Eropah bersama FC Porto dan Inter Milan, selain menjadi tonggak utama pasukan kebangsaan Iran dengan reputasi sebagai penjaring prolifik.

Kehilangannya pasti meninggalkan lompang besar dalam jentera serangan, terutama menjelang kempen kelayakan dan kejohanan besar yang akan datang.

Situasi itu memperlihatkan bagaimana sukan dan geopolitik boleh bertembung dalam keadaan luar biasa. Jarang sekali pemain bertaraf antarabangsa memilih untuk menggantung but demi menyertai barisan pertahanan negara.

Buat masa ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak Olympiacos atau Taremi sendiri. Perkembangan lanjut dijangka akan terus menjadi perhatian media sukan dunia.

Topik Berkaitan

Must Watch Video