Skip to main content

Bola Sepak

LaLiga: Barcelona sahkan kejuaraan ke-29 tumbangkan Real Madrid dalam El-Clasico

barca

Barcelona menjadikan aksi El-Clasico di Camp Nou awal pagi tadi sebagai majlis pertabalan apabila menewaskan Real Madrid 2-0, sekali gus merangkul gelaran LaLiga ke-29.

Kemenangan itu meletakkan skuad kendalian Hansi Flick berkenaan di kedudukan yang tidak boleh dicabar lagi dengan 91 mata, meninggalkan Real Madrid dengan jurang 14 mata ketika saingan hanya berbaki tiga perlawanan.

Advertisement

Kejayaan itu melengkapkan kempen dominan Bara musim ini, yang menyaksikan mereka hanya mencatatkan empat kekalahan dalam liga. Pencabar lain seperti Villarreal jauh ketinggalan di tempat ketiga.

Harapan tipis Madrid untuk mengejar kejuaraan hancur seawal minit kesembilan apabila Marcus Rashford melepaskan sepakan percuma gemilang ke penjuru atas gawang Thibaut Courtois sebagai gol pembukaan.

Gergasi Catalan itu kemudian menggandakan kedudukan hanya sembilan minit berselang menerusi rembatan kencang Ferran Torres, berpunca daripada kuisan tumit bijak Dani Olmo di dalam kotak penalti.

kejayaan itu menandakan kejuaraan liga berturut-turut buat Hansi Flick, yang sebelum ini meraih gelaran berganda dengan memenangi LaLiga dan Copa del Rey dalam musim pertamanya tahun lalu.

Kedua-dua pasukan terpaksa turun tanpa beberapa pemain utama seperti Lamine Yamal dan Kylian Mbappe, selain isu dalaman Madrid melibatkan pergaduhan antara Federico Valverde dan Aurelien Tchouameni.

Meskipun Madrid cuba bangkit menerusi serangan Vinicius Jr dan Jude Bellingham, ketangkasan pertahanan Barcelona memastikan kelebihan itu kekal milik tuan rumah sehingga wisel penamat.

 

Must Watch Video