Ketua jurulatih Kuala Lumpur (KL) City, Risto Vidakovic, mengakui tempoh dua minggu tanpa latihan bersama,, memberi kesan kepada persembahan pasukan ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini.
Namun, dia tetap memuji disiplin pemain yang bertahan dengan baik terutama dalam tempoh 17 minit awal perlawanan walaupun berdepan tekanan daripada pihak lawan.
Advertisement
Dalam masa sama, Vidakovic berkongsi suasana bilik persalinan sedikit muram selepas kekalahan besar itu, namun pemain tidak boleh terus hanyut dengan kekecewaan dan perlu segera bangkit menjelang aksi menentang Negeri Sembilan esok.
"Bayangkan anda perlu bertarung dengan seseorang tanpa persiapan selama dua minggu.
"Saya tidak faham kenapa anda harus ungkit kekalahan 0-7 sebelum ini kerana ia berlaku tatkala banyak perkara yang berlegar di dalam pasukan ini.
"Ia berpunca daripada pasukan kerana mereka beraksi dengan sangat bagus, malah mereka beraksi baik dalam tempoh awal permainan meskipun tidak berlatih.
"Anda carilah mana-mana pasukan yang boleh bermain dengan baik tanpa persiapan," katanya menjelang aksi terakhir di laman sendiri itu musim ini.
Vidakovic menegaskan fokus utama pasukan ketika ini adalah mengembalikan keyakinan pemain serta memperbaiki kelemahan yang dipamerkan sebelum ini demi kembali ke landasan kemenangan dan menamatkan musim dengan positif.
"Musim ini menakjubkan. Kami telah tampilkan persembahan yang menarik dan mengatasi semua rekod kelab.
"Kami tidak berdepan sebarang tekanan lagipun kami sedar biarpun menang ke atas Negeri Sembilan, tempat kedua masih lagi sukar untuk dicapai.
"Jadi kami akan turun untuk menikmati permainan pada malam esok," katanya.