Skip to main content

Berbasikal

LTdL 2026: Gunung Jerai tambah kerancakan perebutan jersi pendahulu, raja bukit

LTdL 2026: Gunung Jerai tambah kerancakan perebutan jersi pendahulu, raja bukit

Dengan penyenaraian pendakian baharu ke puncak Gunung Jerai seawal Peringkat 2, serta pendakian berstatus Hors secara berturut-turut di Cameron Highlands (Peringkat 4) dan Genting Highlands (Peringkat 5), edisi ke-30 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) diramal menyaksikan persaingan paling sengit dalam sejarah penganjurannya.

Ini kerana laluan baharu ke puncak Gunung Jerai berstatus Kategori 1 yang menyediakan 15 mata buat pemenangnya bagi senarai Raja Bukit, selain masa bonus yang dijangka membuatkan setiap pencabar terutama pendaki tulen mahu memberi impresi dan amaran pertama sebagai calon pemenang jersi pendahulu dan  jersi Raja Bukit.

Sama ada mampu bertahan atau sekadar gambaran palsu, dua pendakian berstatus Hors secara berturut-turut yang memberikan 25 mata di Cameron Highlands dan Genting Highlands selepas itu akan menjadi penentuan siapa bakal bergelar pemenang kerana baki tiga peringkat sekadar menyediakan pendakian mudah bagi pakar pendaki.

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL26, Emir Abdul Jalal berkata, pihaknya sengaja memilih cabaran Gunung Jerai pada jelajah yang akan bermula 27 September hingga 4 Oktober depan, untuk menambah kerancakan persaingan edisi kali ini, terutama selepas edisi tahun lalu yang hanya menyediakan pendakian di Banjaran Titiwangsa dan Bukit Fraser yang dianggap mudah.

“Laluan Peringkat 2 sejauh 145.6km dari Taiping ke Gunung Jerai setinggi 971 meter dari aras laut itu bermula selepas pelumba melepasi zon pecutan terakhir di Gurun.

“Walaupun baki jarak menuju ke penamat tidaklah terlalu panjang, darjah kecuraman laluan ke puncak Gunung Jerai dijangka menguji daya tahan pelumba dan kumpulan pelumba akan terpisah kepada beberapa kelompok,” kata Emir.

Menurutnya, berbeza dengan persaingan tahun lalu, edisi kali ini bakal lebih sengit, malah menjadi antara laluan paling sukar dalam sejarah penganjuran LTdL kerana melibatkan tiga pendakian ke puncak, termasuk dua kategori Hors di Cameron dan Genting.

Sebagai rekod, pada 2024, Cameron Highlands dengan ketinggian 1,451 meter dari aras laut, membuka laluan kepada pelumba Britain, Max Poole yang menyarung jersi Team dsm-Firmenich PostNL (kini Picnic-PostNL) untuk muncul pemenang keseluruhan LTdL24.

Genting Highlands dengan ketinggian 1,629m pula menyaksikan pelumba EF Education, Simon Carr menawan puncaknya untuk muncul pemenang individu keseluruhan pada 2023.

“Dengan adanya penamat di tiga puncak pada edisi kali ini, sukar untuk kita meramalkan siapa yang akhirnya akan muncul pemenang individu keseluruhan kerana kedudukan pasti berubah-ubah di akhir Peringkat 2, 4 dan 5,” kata Emir lagi.

Secara keseluruhan, ada 2 pendakian (KOM) kategori Hors; 1 KOM kategori 1; 1 KOM kategori 2; 4 KOM kategori 3 dan 1 KOM kategori 4 di sepanjang laluan sejauh 1,258.5km dalam LTdL26.

Elemen tiga penamat di puncak (summit finish) itu dijangka memberi kesan dalam pemilihan enam pelumba oleh setiap pasukan yang bertanding kerana mereka sedar kecemerlangan di setiap pendakian akan memperngaruhi keputusan keseluruhan, terutama dalam perebutan jersi pendahulu, jersi Raja Bukit dan berpasukan keseluruhan.

Emir berkata, setiap pasukan akan terlebih dulu mengkaji dengan lebih mendalam ketiga-tiga peringkat ini termasuk Gunung Jerai yang pertama kali diperkenalkan dalam LTdL, kerana banyak pasukan profesional mempunyai akses untuk melihat profil laluan.

“Saya pasti mereka akan membariskan sekurang-kurangnya tiga pendaki demi memastikan tugas menguasai laluan berbukit dapat dilakukan dengan lebih mudah, di samping mengukuhkan kedudukan berpasukan keseluruhan,” kata Emir lagi.

Fakta menarik bagi LTdL tahun lalu ialah empat pemenang teratas di Peringkat 5 di Bukit Fraser tahun lalu, diberi kepercayaan oleh pasukan masing-masing untuk berkayuh dalam Tour de France pada tahun ini.

Walaupun senarai pasukan dan pelumba belum diputuskan, kelibat penyarung jersi individu keseluruhan LTdL2025, Joris Delbove (TotalEnergies); Ander Halland Johanessen (Uno-X Mobility); Yannis Voisard (Tudor) dan Nicolas Vinokourov (Astana) dapat disaksikan dalam perlumbaan terbesar Grand Tour itu, dan tidak mustahil mereka akan mengetuai cabaran pasukan masing-masing tahun ini.

Perlumbaan edisi ke-30 jelajah LTdL26 anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang berstatus 2.ProSeries dalam kalendar jelajah UCI-Asia akan bermula di Shah Alam pada 27 September depan dan berakhir di Putrajaya pada 4 Oktober, membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1,258.5km.
 

Anda mungkin berminat dengan

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Luzz pickleball Paddle Pro 4 Tornazo Carbon Fiber Pickleball Paddle - Dual-Layer Core

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Academy Team (30L) Football Backpack - Black [DV0761-011]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

Nike Men's Vomero 18 Road Running Shoes - White [HM6803-109]

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

PUMA ULTRA 5 PLAY FG/AG Adult Spikes Apple Green Grass Football 10768903 [Le Mai.com]

Related Topics

Must Watch Video