Liverpool kini menghadapi musim yang mencabar, dan menurut legenda kelab, Graeme Souness, salah seorang faktor utama adalah penurunan prestasi penyerang bintang mereka, Mohamed Salah.
Souness, dalam temu bual bersama Daily Mail Sport, berkata, “Apa yang berlaku apabila pemain mencapai umur 33-34 tahun ialah karier mereka sama ada jatuh secara drastik atau menurun perlahan-lahan. Saya rasa Salah termasuk dalam kategori pertama.”
Advertisement
“Saya pergi menonton perlawanan pertama musim ini, aksi Perisai Komuniti menentang Crystal Palace. Saya duduk di sebelah anak lelaki saya dan berkata, ‘Saya tidak tahu apa yang berlaku padanya?’ Mungkin dia perlukan beberapa perlawanan untuk kembali ke tahap terbaik. Tetapi statistiknya tetapi tidak meningkat. Prestasi jauh menurun, dan dia adalah sebab utama Liverpool mengalami musim yang tidak konsisten.”
Sebenarnya, statistik Salah musim ini menunjukkan penurunan ketara. Dengan hanya 10 gol dan sembilan bantuan gol dalam semua pertandingan, jauh berbanding musim-musim sebelumnya. Sebagai perbandingan, pada masa yang sama tahun lalu, Salah mencatat 44 sumbangan gol, dan 34 pada musim sebelumnya. Malah, rekod terendahnya sebelum ini ialah 27 sumbangan gol pada musim 2018-19 dan 2019-20.
“Musim terbaiknya sudah berlalu. Tiada siapa boleh menafikannya, dan pemain itu sendiri akan menyedarinya. Saya tidak nampak lagi kilauan yang sama. Jika anda mencari sebab terbesar prestasi Liverpool tidak menentu, ia adalah kerana Salah tidak mencapai nombor yang sama seperti dahulu.”
Souness percaya bahawa masa depan pemain Mesir itu bersama Liverpool patut dipersoalkan, walaupun kontraknya masih sah hingga 2027. Souness menegaskan bahawa Salah mungkin perlu meninggalkan kelab pada penghujung musim ini.
Walaupun begitu, Liverpool baru sahaja menewaskan bekas kelab Souness, Galatasaray, untuk melayakkan diri ke suku akhir Liga Juara-Juara. Namun, Souness tetap skeptikal mengenai peluang mereka untuk menjuarai kejohanan itu.
“Saya menjangkakan lebih daripada Galatasaray, tetapi mereka sangat lemah. Perlawanan itu adalah baik untuk mereka kerana lawan terlalu lemah.”
Dengan penurunan prestasi Salah, Liverpool kini menghadapi cabaran untuk mencari keseimbangan pasukan dan mungkin perlu membuat keputusan sukar mengenai masa depan ikon mereka itu.