Skip to main content

Bola Sepak

Meledak: Selangor hampiri final, JDT terkena badi Buriram

mma

Tempoh 90 minit adalah apa yang dimiliki dua wakil negara iaitu Selangor dan Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk bersaing memburu slot final sekali gus merebut gelaran Raja Asia Tenggara.

Peluang masih terbuka buat dua wakil negara bagi menempatkan diri melangkah ke pentas akhir Piala Shopee 2025/26 dalam penampilan pertama mereka di kejohanan itu.

Advertisement

Pada Rabu, Selangor melakar kemenangan 2-1 ke atas juara Kumpulan B dari Vietnam, Nam Dinh, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sementara kem Harimau Selatan pula menempah nasib berbeza apabila terpaksa akur tewas 1-3 di laman sendiri meskipun memberikan saingan sengit.

Sementara itu, Selangor dilihat dalam keadaan terbaik untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada saingan ACC Shopee Cup berbanding JDT yang akan berdepan Kelantan TRW bagi saingan Liga Super dua hari sebelum pentas separuh akhir kedua nanti pada 13 Mei ini.

Selepas terlepas final Piala Malaysia, Piala FA, ACC Shopee Cup sekurang-kurangnya mampu menjadi hadiah terbaik buat tulang belakang Selangor yang tidak pernah penat hadir di stadium memberikan sokongan.

 

 

 

Sensasi Chrigor Moraes dengan rekod 40 gol peribadi dalam semua kejohanan ketika ini semestinya akan kekal menjadi taruhan utama Kim Pan-gon serta dibantu gerakan Faisal Halim dan Hugo Boumous dalam aksi timbal balik nanti.

Malah, jentera pertahanan The Red Giants antara yang mencuri tumpuan dan wajar dikekalkan dalam aksi timbal balik nanti diketuai trio -Safuwan Baharudin-Mamadou Diarra-penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Buat kem JDT, sentuhan Xisco Munoz pasti ditagih penyokong selepas memimpin JDT melakar sejarah mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan mengekalkan rekod selaku juara Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut dan kali keempat menjulang Piala FA musim ini.

Tanggal 13 Mei ini akan menjadi penentu nasib dua wakil negara dengan penyokong semestinya berharap kedua-dua pasukan ini akan menembusi pentas akhir untuk perlawanan paling epik antara JDT dan Selangor untuk merebut Raja Asia Tenggara di final ACC Shopee Cup 2025/26.

Must Watch Video