Pelumba Jepun, Ai Ogura, mencipta sejarah apabila meraih kemenangan sulung dalam karier MotoGP selepas muncul juara Grand Prix Belanda 2026 di Litar TT Assen, sekali gus menamatkan penantian 22 tahun Jepun untuk kembali bergelar pemenang dalam kelas perdana.
Pelumba Trackhouse Racing itu mempamerkan tunggangan cemerlang apabila memintas rakan sepasukannya, Raul Fernandez, pada penghujung perlumbaan sebelum melintasi garisan penamat di tempat pertama.
Kejayaan itu turut melengkapkan kedudukan 1-2 buat Trackhouse Racing, manakala Jorge Martin dari Aprilia melengkapkan podium di tempat ketiga.
Lebih manis, Ogura muncul sebagai pelumba Jepun pertama memenangi perlumbaan MotoGP sejak Makoto Tamada menjuarai GP Jepun pada 2004, sekali gus mengakhiri kemarau kemenangan negara itu selama lebih dua dekad.
Perlumbaan di Assen turut menyaksikan drama apabila pendahulu kejuaraan dunia, Marco Bezzecchi, terjatuh seawal pusingan kedua dan gagal mengutip sebarang mata.
Insiden itu membuka ruang kepada Jorge Martin untuk mengambil alih kedudukan pendahulu keseluruhan kejuaraan MotoGP 2026 dengan kelebihan tujuh mata.
Kemenangan bersejarah di Belanda turut melonjakkan Ogura ke tangga keempat keseluruhan kejuaraan dunia, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara pencabar utama musim ini.