Skip to main content

Bola Sepak

Nekad ‘bolosi’ stadium tanpa tiket? England kini anggap ia satu jenayah!

EFL

Tindakan memasuki stadium bola sepak tanpa tiket di England dan Wales kini diklasifikasikan sebagai kesalahan jenayah susulan penguatkuasaan undang-undang baru menjelang perlawanan akhir Piala Liga Inggeris (EFL) antara Arsenal dan Manchester City di Stadium Wembley.

Akta kemasukan tanpa kebenaran ke perlawanan bola sepak itu diperkenalkan susulan penemuan bahawa hukuman sedia ada terlalu lemah serta tidak mampu mengekang insiden pencerobohan stadium.

Advertisement

Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan perintah larangan menghadiri perlawanan bola sepak sehingga lima tahun selain denda maksimum RM 5,288.63.

Difahamkan perundangan itu diperkenalkan susulan insiden kekacauan serius ketika final Euro 2020 antara England dan Itali pada Julai 2021.

Dalam insiden itu, ribuan penyokong dilaporkan berpusu-pusu memasuki stadium tanpa tiket yang sah sehingga mencetuskan keadaan yang tidak terkawal.

Laporan siasatan oleh Persatuan Bolasepak England yang diketuai Louise Casey sebelum ini mendedahkan kekacauan pada perlawanan akhir itu berpotensi mengakibatkan kematian.

Siasatan mendapati kira-kira 2,000 individu berjaya memasuki stadium secara haram termasuk menerusi 17 pencerobohan berkumpulan di pintu akses orang kurang upaya dan pintu kecemasan.

Undang-undang baru itu akan memberi tumpuan kepada kesalahan ‘tailgating’, iaitu tindakan penyokong tanpa tiket menyelinap masuk dengan mengekori rapat pemegang tiket yang sah di pintu masuk stadium.

Selain itu, cubaan memasuki stadium menggunakan tiket palsu, pas tiruan, dokumen akreditasi tidak sah atau menyamar sebagai petugas juga kini menjadi kesalahan jenayah.

Sebelum ini, tiada hukuman khusus dikenakan terhadap individu yang menceroboh masuk stadium, sebaliknya mereka hanya diarah keluar tanpa tindakan lanjut.

Menteri Kepolisan Britain, Sarah Jones menekankan keselamatan penyokong perlu diberi keutamaan.

“Penyokong bola sepak berhak menikmati perlawanan tanpa rasa terancam atau tidak selamat.

“Kami memberi kuasa kepada pihak polis bagi memastikan kekacauan seperti yang berlaku di Wembley lima tahun lalu tidak berulang.

“Sesiapa yang membahayakan orang lain dengan menceroboh stadium akan berdepan tindakan tegas,” katanya.

Must Watch Video