Jaguh muay thai muda negara, Adam Rakib, terus membuktikan potensinya di pentas antarabangsa apabila berjaya menewaskan atlet Perancis, Enzo Clarisse, dalam aksi ONE Championship: The Inner Circle yang berlangsung di Stadium Lumpinee.
Pertarungan kategori strawweight itu menjadi antara aksi paling mencuri tumpuan malam ini apabila kedua-dua atlet tampil dengan reputasi serta rekod yang cukup baik.
Advertisement
Adam memulakan pertarungan dengan cukup agresif dan berjaya mencuri perhatian seawal pusingan pertama apabila melakukan knockdown ke atas Clarisse menerusi kombinasi serangan kemas dan tepat.
Momentum tersebut memberi kelebihan besar buat atlet negara itu untuk mengutip mata penting sepanjang pertarungan berlangsung.
Walaupun lawannya cuba bangkit memberikan tentangan selepas itu, Adam berjaya mengekalkan disiplin taktikal dan kawalan pertarungan sehingga tamat aksi.
Akhirnya, persembahan konsisten atlet negara itu menghadiahkan kemenangan menerusi keputusan juri dalam aksi utama ONE 'The Inner Circle'.
Kemenangan ini juga menyaksikan Adam meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam siri ONE -- satu pencapaian yang terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara prospek muay thai paling menyerlah dari Malaysia ketika ini.
Prestasi cemerlang tersebut pastinya memberi suntikan moral besar buat Adam untuk terus memburu cabaran lebih besar di pentas antarabangsa selepas ini.