Skip to main content

Bola Sepak

PBMM respons peletakan jawatan Exco FAM, seru beberapa perkara termasuk reformasi

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

FAM

Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia memberikan reaksi berhubung peletakan jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan sukarela secara kolektif, minggu lalu.

PBMM dalam satu kenyataan merakamkan penghargaan sambil berpendapat ia tindakan yang mencerminkan sifat tidak mementingkan diri, sebalinya mengutamakan masa depam bola sepak Malaysia mengatasi kepentingan peribadi mahupun jawatan.

Advertisement

Dengan pasukan pemantau dari Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang akan diketuai Vahid Kardany bagi tujuan penilaian dan langkah-langkah yang perlu dibuat pada masa hadapan, PBMM menyambut baik proses itu bagi tujuan pembaikan termasuk reformasi pentadbiran.

Dalam masa sama, PBMM mencadangkan sebuah panel pemantau ditubuhkan yang bersifat neutral daripada kalangan individu Ahli Gabungan seperti Presiden Persatuan atau Setiausaha Agung yang berdaftar di bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) dan diiktiraf status keahlian oleh FAM.

Namun, PBMM menegaskan panel tersebut bukan dalam kalangan Exco FAM yang baru sahaja meletakkan jawatan.

Katanya, panel itu bertujuan memantau tadbir urus tanpa membuat sebarang keputusan dasar, serta membantu AFC daripada sudut pentadbiran.

Selain itu, PBMM juga ingin menarik perhatian dan mencadangkan agar dipertimbangkan persetujuan semua ahli gabungan bahawa individu yang telah meletakkan jawatan secara kolektif tidak dibenarkan untuk bertanding semula dalam pemilihan yang akan datang.

PBMM memahami bahawa cadangan ini mungkin bercanggah dengan prinsip hak demokratik mana-mana individu yang mendapat pencalonan mencukupi, dan perkara tersebut tidak termaktub di dalam Statut FAM.

Namun demikian, cadangan ini dikemukakan atas dasar kepentingan yang lebih besar demi memastikan proses reformasi ini benar-benar dilihat tulen, telus dan bebas daripada sebarang konflik kepentingan.

Objektif utama cadangan ini adalah untuk memastikan proses reformasi dan pembaikan pentadbiran FAM dapat dilaksanakan secara telus, berkecuali dan berintegriti, di samping memulihkan keyakinan ahli gabungan serta seluruh ekosistem bola sepak negara terhadap hala tuju baharu FAM.

PBMM percaya bahawa tempoh reformasi ini merupakan peluang terbaik untuk membina semula asas pentadbiran FAM yang lebih profesional, kukuh dan selari dengan prinsip tadbir urus yang ditetapkan oleh AFC dan FIFA demi kemajuan bola sepak Malaysia secara mampan.

 

Must Watch Video