Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

‘Pengkhianat?’ -- José Mourinho berang selepas drama panas Benfica-Porto

‘Pengkhianat?’ -- José Mourinho berang selepas drama panas Benfica-Porto

Pengurus Benfica, José Mourinho, meluahkan rasa berang selepas didakwa digelar 'pengkhianat' oleh pembantu jurulatih FC Porto dalam aksi panas liga Portugal yang berakhir 2-2.

Insiden itu tercetus sejurus selepas Benfica bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum pemain gantian, Leandro Barreiro, menjaringkan gol penyamaan dramatik  pada minit ke-88.

Advertisement

Gol tersebut mencetuskan kekecohan di tepi padang sehingga menyaksikan Mourinho dilayangkan kad merah oleh pengadil.

Selepas perlawanan, Mourinho menjelaskan bahawa pengadil mengusirnya kerana didakwa menendang bola ke arah bangku simpanan Porto.

Namun bekas pengendali Real Madrid, Chelsea dan Inter Milan itu menafikan tuduhan berkenaan.

“Pengadil kata saya dihantar keluar kerana menendang bola ke arah bangku Porto. Itu tidak benar,” kata Mourinho.

Menurutnya, Mourinho sebenarnya cuba menendang bola ke arah tempat duduk penonton sebagai simbolik meraikan gol, sesuatu yang pernah dilakukannya sebelum ini.

Situasi menjadi lebih tegang apabila jurulatih pembantu Porto, Lucho Gonzalez, turut dilayangkan kad merah selepas pertikaman lidah dengan Mourinho.

Menurut Mourinho, Gonzalez didakwa memanggilnya 'pengkhianat' berulang kali di terowong stadium.

“Mereka panggil saya pengkhianat 50 kali. Pengkhianat kepada apa?” kata Mourinho.

Pengendali berusia 63 tahun itu menegaskan bahawa dia memberikan segala-galanya ketika bersama Porto, termasuk memenangi beberapa trofi utama.

Mourinho pernah mencipta sejarah bersama Porto antara 2002 hingga 2004 dengan memenangi enam trofi termasuk Piala UEFA pada musim 2002–03 dan Liga Juara-Juara musim berikutnya 2003–04.

Namun pada September tahun lalu, dia kembali ke Portugal untuk mengendalikan Benfica selepas dipecat oleh Fenerbahçe.

Kepulangan Mourinho ke Benfica -- musuh tradisi Porto -- dilihat sebagai punca ketegangan emosi yang tercetus dalam perlawanan dramatik tersebut.
 

Must Watch Video