Kejohanan Ragbi Piala Agong Edisi Ke-42 bakal berlangsung dari 9 Mei hingga 28 Jun 2026, menghimpunkan sembilan (9) pasukan terbaik dari seluruh negara dalam tempoh lapan minggu pertandingan yang dijangka sarat dengan aksi menarik dan persaingan sengit.
Menariknya kali ini, Putrajaya dan Negeri Sembilan kembali ke pentas Piala Agong tahun ini dijangka menambah kemeriahan serta meningkatkan tahap daya saing kejohanan berprestij ini.
Advertisement
Pengurus Negeri Sembilan, Megat Mohammad Faisal Khir Johari, berkata, "Persiapan kami baru sahaja bermula minggu ini, kami telah mula membentuk pasukan sebelum ini dan melengkapkan barisan pemain pasukan.
"Negeri Sembilan mahu menggunakan peluang ini kembali beraksi di Piala Agong, kami berharap dapat mula membuat persiapan dengan kehadiran campuran antara pemain berpengalaman dan muda. Kami juga berharap mampu menghasilkan kejutan."
Bagi Pengurus Johor, Ts. Mohd Faizal bin Hassan, yang berkongsi, "Berdasarkan peluang bagi setiap pasukan adalah terbuka. Walaupun dijangka berdepan saingan yang sukar, kami tetap akan cuba untuk menjulang kejuaraan."
Pengurus Putrajaya, Mohd Adam bin Abdullah, "Persiapan kami telah mengikut perancangan. Putrajaya bakal dibarisi pemain yang telah membuat penampilan dalam Liga Putrajaya sebelum ini. Kehadiran pemain dalam setiap persiapan agak membanggakan. Saya yakin dengan kehadiran pemain baru dalam pasukan, kami mampu memberikan saingan untuk merebut kejuaraan."
Setiausaha Ragbi PDRM, ASP Mohamad Hafis Ahamad, "Sudah tentu kami mengintai peluang untuk bergelar juara buat kali keempat berturut-turut. Namun kami harus bersifat realistik berdasarkan persiapan pasukan. Perancangan telah ditetapkan oleh jurulatih dan setiap individu dalam pasukan mengetahui objektif yang disasarkan."
Kedah, Terengganu, Kelantan, ATM, PDRM, Johor, Negeri Sembilan, Putrajaya dan Kuala Lumpur merupakan sembilan pasukan yang mengambil bahagian dalam saingan Piala Agong bagi edisi ke-42.