"Kami memerlukan pengalaman dalam pasukan," kata ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Brendon Carolan, selepas memanggil pertahanan senior, Aminuddin Zain, dan penjaga gol, Zaimi Mat Deris, untuk ke Piala Dunia Hoki di Belgium bulan depan.
Bagi Carolan, meskipun ingin membina pasukan dengan tenaga muda, pengalaman Aminuddin dan Zaimi, yang pernah memacu Malaysia menjuarai Piala Sultan Azlan Shah pada 2022, mampu menjadi nilai tambah buat pasukannya.
The Speedy Tigers kini dalam persiapan terakhir sebelum bergerak lebih awal ke Belgium bagi kem latihan selama seminggu dan akan beradu tenaga menentang Sepanyol sebelum membuka tirai Piala Dunia dengan menghadapi Jerman pada 15 Ogos ini.
"Sudah pasti dalam membina profil pasukan, anda perlu mula memikirkan mengenai masa depan dan perlu mengimbangi kelompok usia berbeza dalam skuad anda," kata Carolan kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.
"Apabila pemain senior bersara, meninggalkan pasukan atau mengalami kecederaan, anda tahu akan ada pemain muda yang akan tampil dan bersedia memberikan prestasi terbaik.
"Kami memiliki kelompok pemain yang besar, amat bagus untuk skuad hoki Malaysia memiliki skuad yang besar.
"Kami kini memiliki 34 pemain dalam pasukan dan ia bermakna kami boleh bermain lebih banyak perlawanan kompetitif.
"Ia juga bermakna pemain remaja akan terdedah dengan latihan bersama pemain senior setiap hari."