Barisan pemain B-23 negara tampak berpotensi untuk membawa cabaran Malaysia ke Piala Hyundai ASEAN Julai ini berikutan tiada kejohanan peringkat umur itu tahun ini.
Ia seiring dengan hasrat pengendali kebangsaan, Peter Cklamovski, yang mahu menjadikan kejohanan serantau itu sebagai platform untuk memperkasakan Harimau Malaya dengan memanggil pemain muda dan muka baru.
Advertisement
"Saya tidak nampak kami dapat menggunakan kekuatan penuh pada kali ini.
"Saya mahu menggunakan kejohanan ini untuk membina pasukan, demi masa depan pasukan.
"Kita akan anjurkan Sukan SEA 2027 dan kami mahu memenanginya.
"Mewakili pasukan kebangsaan adalah satu kehormatan dan kebanggaan, untuk menyumbang kepada negara yang menaruh kepercayaan terhadap pasukan kebangsaan," katanya di Nadi Arena.
Apa pun, Cklamovski menegaskan perancangan itu bukan bersifat eksperimen, sebaliknya bertujuan memberi pendedahan antarabangsa bagi membina skuad selain persediaan menghadapi Sukan SEA 2027.
Pengendali dari Australia itu menyuarakan hasrat berkenaan susulan kejohanan berprestij Asia Tenggara tersebut berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Julai depan.
Harimau Malaya berdepan seteru tradisi Thailand dalam Kumpulan B, dengan Cklamovski menggalas misi untuk mengakhiri penantian 16 tahun sejak kali terakhir bergelar juara pada edisi 2010.
"Peringkat kumpulan mengujakan kami. Kami berdepan cabaran, tidak kira di mana kami akan beraksi.
"Kami menghormati setiap perlawanan. Perlawanan timbal balik menambah dinamik cabaran buat kami.
"Thailand pasukan handalan sementara Filipina juga sangat bagus, malah Laos juga.
"Ia bukan mudah dan kami mahu menjadikan kejohanan ini untuk mengharumkan nama negara selain membina pasukan kebangsaan," katanya.