Selangor melangkah gagah ke separuh akhir Piala Malaysia apabila membelasah Negeri Sembilan 5-1 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Petaling Jaya sebentar tadi.
Kemenangan besar itu turut mengekalkan rekod kebal ketua jurulatih, Kim Pan-gon, kepada sembilan perlawanan berturut-turut selepas mengambil alih tanggungjawab itu awal bulan lalu (7 kemenangan dan 2 keputusan seri).
Advertisement
Berbekalkan satu gol daripada perlawanan pertama di Paroi minggu lalu, Gergasi Merah memberikan pelawat igauan ngeri sepanjang 45 minit pertama dengan mendaftarkan empat gol dalam tempoh itu.
Faisal Halim membuka jaringan seawal minit kedua, yang disahkan oleh video bantuan pengadil (VAR), sebelum Alvin Fortes menggandakan kelebihan itu pada minit ke-24 dengan menolak masuk lintangan Chrigor Moraes.
Enam minit kemudian, giliran Nooa Laine memahat nama selaku penjaring, kali ini dengan melepaskan ledakan jauh dari luar kotak penalti selepas menerima umpanan Faisal.
Quentin Cheng turut tidak melepaskan peluang untuk menggegarkan jaring lawan apabila menanduk masuk lintangan Fortes sebelum ke bilik persalinan.
Negeri Sembilan mempamerkan aksi lebih kemas dalam separuh masa berikutnya tetapi mereka sekali lagi dibolosi Selangor, di mana Moraes mendada masuk bola daripada sepakan percuma Hugo Boumous pada minit ke-66.
The Jangs akhirnya memperoleh jaringan hasil sepakan penalti Jovan Motika pada minit ke-74 susulan kekasaran yang dilakukan Zikri Khalili tetapi ia hanya menjadi gol sagu hati dan tidak berupaya menafikan kemenangan agregat 6-1 Selangor.
Selangor seterusnya akan berdepan Kuching City bagi penentuan ke final.