Pemenang pingat gangsa beregu lelaki Sukan Olimpik Barcelona 1992, Datuk Razif Sidek, menganggap peluang negara untuk mendapatkan satu mata menerusi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam kempen Piala Thomas 2026 disifatkan sebagai cerah.
Menurutnya, beregu nombor dua dunia itu mempamerkan peningkatan ketara dalam persembahan mereka ketika menentang jaguh Korea Selatan, Seo Seung-jae/Kim Won-ho, biarpun terpaksa akur tewas tipis dalam aksi tiga set Seluruh England di Arena Birmingham, kelmarin.
Advertisement
"Setakat ini mereka bermain dengan baik hingga ke final.
"Cuma persembahan mereka tidak membawa hasil (kejuaraan).
"Ia akan menjadi petunjuk kepada pihak pihak lawan bahawa mereka serius.
"Saya berharap persembahan seperti ini dapat diteruskan dalam Piala Thomas," katanya.
Bagaimanapun, dia melihat Soh Wooi Yik perlu lebih tenang dan kurang melakukan kesilapan supaya nisbah kemenangan negara mampu menjadi lebih tinggi dalam setiap perlawanan.
"Wooi Yik masih ragu-ragu, dia terlalu banyak fikir atau terlalu mahukan kemenangan menyebabkan prestasinya menurun," katanya menjelang kempen yang bermula 24 April depan itu.