Skip to main content

Badminton

Rexy turut senada dengan Lee Chong Wei

Rexy turut senada dengan Lee Chong Wei

Susulan daripada kenyataan Datuk Seri Lee Chong Wei tentang tiada toleransi kepada pemain Yang melanggar peraturan hostel di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky, menyokong penuh apa yang dibangkitkan bekas pemain nombor satu dunia itu.

Chong Wei sebelum ini berkata tidak akan lagi bertolak ansur dengan pemain yang mengabaikan peraturan tersebut tanpa mengira status mereka.

Advertisement

Peraturan itu telah lama dilaksanakan BAM untuk memupuk disiplin dalam kalangan pemain sambil memastikan mereka mendapat rehat yang cukup untuk sesi latihan pagi.

Rexy menjelaskan perkara ini membabitkan disiplin seorang pemain, lebih-lebih lagi mereka yang berada dalam pelan skuad negara membawa nama baik persatuan di mana-mana sahaja.

Sementara itu, Rexy juga menambah amaran telah pun diberikan beberapa kali, namun jika amaran itu ibarat tiada kesan, Rexy jamin akan ada hukuman yang lebih berat menanti mereka yang masih degil untuk melanggar peraturan sedia ada.

“Amaran itu memang perlu tetapi kalau sudah banyak kali diingatkan, ia sepatutnya tidak berlarutan sampai amaran ketiga atau keempat.

“Kalau sudah sampai 10 kali diberi peringatan, itu ibarat bercakap dengan tembok, bukan dengan manusia,” katanya.

“Saya bukan setuju 100 peratus, tetapi 10,000 peratus dengan apa yang diperkatakan Chong Wei.

“Dalam apa juga bidang, disiplin adalah perkara paling utama yang menentukan sama ada seseorang itu mampu berjaya atau tidak pada masa depan,” katanya.
 

Must Watch Video