Cadangan pelaksanaan sistem ‘Pay Per View’ (PPV) bagi perlawanan Liga Malaysia yang diusulkan Pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dalam sesi meja bulat baru-baru ini, terus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan penggiat bola sepak tempatan.
Bekas penyerang Harimau Malaya, Safee Sali, menegaskan dua elemen utama perlu diberikan perhatian dan antara yang paling menghimpit adalah faktor ekonomi masyarakat tempatan.
Advertisement
Kajian dan pandangan daripada komuniti tempatan sendiri perlu diambil kira untuk menilai semula tahap keberkesanan cadangan diusulkan itu.
Ia ditambah dengan realiti semasa menyaksikan peminat sudah memiliki akses platform tontonan secara percuma, sekali gus menjadi cabaran utama kepada pelaksanaan platform berbayar.
"Bagi saya dalam situasi sekarang, ia perlu dibincangkan dengan lebih teliti dan mendalam, melihat kepada pandangan yang sedikit berbeza," katanya kepada wartawan Astro Arena, Husna Zainudin.
"Kalau kita lihat sekarang pun, liputannya amat luas di Astro. Dengan keadaan ekonomi sekarang ini, ia perlu diteliti dengan lebih mendalam sebelum diterapkan secara drastik musim depan.
"Mungkin (perlu) ada perbincangan lebih terperinci selepas ini."