Johor Darul Ta'zim (JDT) memilih laluan berliku dalam memburu slot ke pentas final Kejohanan Kelab ASEAN (ACC) Shopee Cup apabila tewas 1-3 kepada Buriram United dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) malam tadi.
Tanpa berselindung ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz, mengakui pasukannya tidak beraksi seperti yang diharapkan, terutama ketika bertahan daripada asakan lawan.
Advertisement
Pengendali kelahiran Sepanyol itu turut memohon maaf kepada semua penyokong Harimau Selatan, yang pastinya kecewa pasukan kesayangan mereka gagal meraih bekalan selesa di laman sendiri menjelang aksi timbal balik di Arena Chang Buriram pada Rabu depan.
"Kami perlu percayakan diri, kami perlu berusaha dan memberikan yang terbaik," katanya dalam sidang media seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Kami perlu ke sana dan mengubah situasi. Itulah yang berada dalam fikiran saya dan saya percayakannya.
"Dalam bola sepak, sudah pasti ada situasi naik turun. Kami memiliki 70 peratus penguasaan, kami mengawal permainan tetapi tidak ada apa berlaku.
"Mereka datang tiga kali dan dapat tiga gol melalui kesilapan dan kami membuka ruang untuk mereka menjaringkannya.
"Ini adalah bola sepak profesional dan apabila anda melakukan kesilapan berdepan pasukan yang bagus, perkara seperti itu akan berlaku.
"Saya memohon maaf kepada penyokong kami. Sudah pasti ini bukan keputusan yang kita mahukan.
"Kami pasti akan mencuba untuk memberikan aksi lebih baik selepas ini."