Jurulatih Negeri Sembilan, Nidzam Jamil, percaya peluang masih terbuka buat anak buahnya bangkit melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia.
Skuad The Jang akan turun malam ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi mengharungi aksi suku akhir kedua menentang Selangor yang mempunyai bekalan tipis selepas menewaskan Negeri Sembilan 1-0 di Paroi minggu lalu.
Advertisement
"Masih ada tempoh 90 minit untuk diharungi dan kami tidak akan ke MBPJ hanya untuk berpuas hati dengan layak ke kelompok lapan terbaik Piala Malaysia.
"Kami juga mahu ke separuh akhir juga. Seperti mana besarnya cita-cita Selangor, sebesar itulah cita-cita kami.
"Kita perlu bermain dengan baik, bukan hanya bermain baik tetapi perlu menang lebih daripada dua gol.
"Jadi, kita perlu yakin bahawa peluang itu masih ada. Jika kita katakan keputusan 0-1 bermakna peluang sudah tertutup, saya tidak bersetuju." katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Untuk rekod, Nidzam pernah memacu kemenangan Negeri Sembilan menewaskan Selangor 3-2 di MBPJ dalam aksi suku akhir kedua Piala FA pada Oktober lalu.