Super Schools Rugby (SSR) 2026 semakin hampir melabuhkan tirai dengan aksi grand final akan mengambil tempat di Stadium Merdeka malam esok.
Tumpuan pastinya terarah kepada pasukan Victoria Institution (VI), yang ingin melupakan episod suram tahun lalu, di mana mereka tewas kepada MRSM Balik Pulau di pentas akhir.
Bagaimanapun, skripnya kali ini sedikit berbeza apabila mereka bakal membuat perhitungan dengan SMS Hulu Selangor (SEMASHUR), di mana masing-masing mendambakan kejuaraan ketiga.
Pengurus pasukan, Nik Mohd Sidek, berkata kepada Astro Arena: "Sebenarnya masa kami dapat tahu final akan diadakan di Stadium Merdeka, saya terus adakan mesyuarat pemain dan memberikan mereka kata-kata semangat 'Tak kan final nak orang lain jerit, stadium ini hanya di belakang rumah kita'.
"Kami patut berada di Stadium Merdeka, tidak kira kami kalah atau menang, kerana aura Stadium Merdeka memang dekat dengan VI."