Kami sudah bersedia, kata penolong ketua jurulatih Victoria Institution, Fathurrahman Fadzil Rizal, menjelang aksi suku akhir Super Schools Rugby Premier 2026 menentang Malay College Kuala Kangsar (MCKK) esok.
Meskipun tampil dengan 70 peratus muka baru, Fathurrahman percaya mentaliti juara yang dimiliki pasukannya mampu menjadi nilai tambah terbaik bagi VI memburu kejuaraan SSR musim ini.
Tempoh persiapan selama tiga minggu ini dimanfaatkan sebaik mungkin pasukannya bagi mengenal pasti serta memperbaiki segala kelemahan yang ada.
Sedar tugas berat menanti mereka di Tanjung Malim, Dia menggesa anak buahnya untuk kekal fokus sepanjang perlawanan, di samping tidak melakukan sebarang kesilapan mudah yang pastinya akan dihukum lawan.
Kali terakhir VI muncul juara SSR ialah dalam edisi 2023 selepas mengatasi Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (Semashur) di pentas final.
"Setakat ini semua pemain kelihatan baik dan kami ada ubah sedikit taktikal dan strategi," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Kami menumpukan kepada kekuatan fizikal, taktikal dan kemahiran individu yang perlu diperbetulkan.
"Memandangkan ramai pemain kami baru habis Kejohanan MSSM, mereka kembali kepada kami dengan semangat baru."