Pasukan sepak takraw Pahang yang kini tampil dengan wajah baru bagi menghadapi saingan Sepak Takraw League (STL) Divisyen 1 dan Piala Tun Ali musim 2026.
Persatuan sepaktakraw negeri Pahang memperkenalkan lima pemain utama yang sebelum ini mencipta kejayaan menjulang Piala Emas Khir Johari 2026 dan Piala Tun Ali 2025.
Advertisement
Perkara itu termasuk tekong, Muhammad Hairul Hazizi Haidir, apit kanan, Mohd Khairol Zaman serta tekong dari Thailand, Pongsatorn Phong-udtha.
Sebagai usaha memperkukuhkan pasukan, Pahang turut menjalinkan kerjasama strategik bersama Kelab Takraw JJ Tornado menerusi konsep usahasama bagi membantu aspek penajaan dan pengurusan pasukan sepanjang musim 2026.
"Dua pemain perejam yang baru lepas menang Piala Emas Khir, gabungan tekong import dan bekas pemain kebangsaan, serta pengumpan kebangsaan, saya taruh harapan tinggi.
"Pemain simpanan daripada Sukma yang terbaik dalam negeri Pahang, kami sasar kemenangan manis tahun ini sesuai dengan diri saya sebagai pengurus pasukan piala dunia tahun ini," kata Presiden PSTNP, Datuk Abu Jimi Samat.
Gabungan pemain berpengalaman dan muka baharu diyakini mampu mengembalikan pahang sebagai antara kuasa utama sepak takraw negara, serta mencipta sensasi dalam saingan STL musim ini.
Dalam masa sama, Pahang turut mempertaruhkan pemain muda Sukan Malaysia (Sukma) Pahang, Mohamad Alif Najmi Mazaidan dan Muhammad Syazrul Aieriel Suparman sebagai pelapis masa depan skuad Tok Gajah.
"Ia mengambil masa lama untuk dapat kepercayaan pemain baru, kerana apabila saya masuk tahun 2022 ia rumit kerana pemain mahu cari pasukan besar.
"Kami pasukan kerdil, pada 2023 dan 2024 mereka melihat pengurusan pasukan kami bagus jadi mereka berikan kepercayaan kepada kami." tambah penaung PSTNP, Azril Rizal Yusof.