Demikian reaksi Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan, mengenai pelantikannya selaku Chef de Mission (CDM) kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Aichi-Nagoya pada September depan.
Sedar ia bukan tugas mudah, Sumali menyandarkan harapan tinggi untuk memacu kontinjen negara mencapai keputusan lebih baik berbanding edisi di Hangzhou pada 2022.
Advertisement
Tambahnya, dia memerlukan sokongan padu semua pihak, terutama Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN), bagi memudahkan tugas mencapai sasaran yang bakal ditetapkan kelak.
Dalam masa sama, Sumali turut mengakui berdepan cabaran untuk memastikan skuad sepak takraw negara muncul antara penyumbang pingat emas buat Malaysia.
Untuk rekod, Sumali muncul Presiden PSM pertama dalam sejarah dilantik sebagai CDM Sukan Asia.
"Sudah pasti tanggungjawabnya lebih besar dan amanah ini amat besar," katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Saya perlu buat sedikit kajian dan perancangan untuk ke arah pencapaian yang lebih baik, Insya-Allah.
"Sudah pasti saya memburu beberapa panduan daripada MOM dan KBS sendiri agar segala yang dirancang dapat saya jayakan.
"Sukan Asia ini tidak datang hari-hari, bukan setiap tahun dan apabila tiba masanya, suka tidak suka, kita perlu fokus agar pencapaian atlet dan pencapaian kita sendiri akan dapat dicapai nanti.
"Salah satu harapan saya sudah tentulah sepak takraw kerana saya CDM dan Presiden PSM.
"Kebetulan juga sukan Sepak Takraw sentiasa ada beberapa pingat dalam Sukan Asia dan ia menjadi satu cabaran buat saya."