Kekecewaan gagal mempertahankan pingat emas Sukan SEA Thailand dalam acara 10 meter air pistol ditebus penembak negara, Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin, memulakan musim 2026 dengan rekod kebangsaan.
Syasya Nadiah meleburkan rekod yang dipegang Bibiana Ng itu dengan catatan 242.2 mata dalam Piala Tun Haniff disusuli kejayaan menggondol emas dalam Kejohanan Menembak Antarabangsa Berlin IWK 2026, minggu lalu secara tidak langsung menjadikan ia kebangkitan paling manis untuk menempuh baki musim ini.
Advertisement
Fokus utamanya ketika ini adalah mencari lebih keserasian dengan senjata baru selain meletakkan Sukan Asia sebagai sasaran untuk mencapai kemuncak prestasi sebagai landasan untuk merampas kembali emas Sukan SEA Malaysia 2027.
"Setelah sekian lama mencuba, saya gembira akhirnya dapat memecahkan rekod kebangsaan berusia sembilan tahun.
"ini adalah catatan terbaik pada tahun ini.
"Selepas saya merancang untuk mengatasi catatan peribadi dalam Sukan Asia," katanya.
Sementara jurulatih menembak negara, Mohamad Firdaus Abd Rahim, menganggap apa yang diperlukan ketika ini adalah dalam soal ketekalan.
Penembak kelahiran Batu Pahat, Johor itu sudah serba-serbi lengkap, namun adalah penting buatnya cuba mendapatkan prestasi terbaik dan kekal konsisten.
"Sasaran yang saya tetapkan adalah Sukan Asia tapi sebaiknya dia juga bersaing untuk merebut kuota Sukan Olimpik.
"Dia dan Johnathan Wong dijadual menyertai Kejohanan Dunia di Dubai yang (penganjurannya) masih sama-samar dengan isu global sekarang.
"Syasya Nadiah konsisten sejak pertukaran senjata baru dan ia satu bonus buatnya," katanya.