Presiden Kelab Bola Sepak Kuching City, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, berkongsikan telah mengambil kira risiko ketika membawa masuk pemain Malaysian Abroad, Gabriel Palmero, ke dalam skuad The Cats.
Palmero antara empat pemain yang digantung Malaysian Football League (MFL) berhubung keputusan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap rayuan kes tujuh pemain warisan yang sebelum ini dikenakan tindakan disiplin berhubung kes pemalsuan dokumen.
Advertisement
Tiga daripada mereka merupakan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu João Figueiredo, Jon Irazabal* dan Héctor Hevel.
Ini bermakna keempat-empat pemain tersebut tidak boleh beraksi dalam mana-mana perlawanan rasmi Liga Malaysia sepanjang tempoh penggantungan, walaupun mereka masih dibenarkan menjalani latihan bersama kelab masing-masing.
"Risiko itu memang telah kami bincang dan apabila (penggantungan) berlaku, kami telah berbincang dengan Gabriel dan dia juga faham.
"Saya juga menasihati dia agar kekal dengan latihan kerana tempoh 12 bulan itu bukan satu tempoh yang lama, sekejap saja.
"Kami juga sentiasa terbuka untuk menerima dia apabila habis tempoh penggantungan." katanya seperti dipetik media tempatan.
Pemain pertahanan berusia 24 tahun itu antara watak penting memacu skuad kendalian Aidil Sharin Sahak berada di tangga keempat dalam kempen Liga Super 2025/25 ketika ini dengan 37 mata bersaing sengit untuk menamatkan saingan di kedudukan dua terbaik.