Skip to main content

Badminton

Terbuka Jepun 2026: Impian Malaysia berakhir, Sze Fei-Izzuddin terkandas di separuh akhir

Terbuka Jepun 2026: Impian Malaysia berakhir, Sze Fei-Izzuddin terkandas di separuh akhir

Malaysia terpaksa melupakan hasrat untuk menyaksikan wakil negara beraksi di pentas final Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2026 selepas pasangan beregu lelaki utama, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, tewas di peringkat separuh akhir sebentar tadi.

Juara Terbuka Indonesia itu gagal melepasi halangan pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won-ho dan Seo Seung-jae, selepas tewas dalam pertarungan tiga set 12-21, 21-11, 13-21.

Kekalahan itu sekali gus menutup tirai cabaran Malaysia di Tokyo, sekali gus memastikan tiada wakil negara akan beraksi dalam perlawanan akhir esok.

Beraksi sebagai satu-satunya wakil negara yang masih meneruskan perjuangan di separuh akhir, Sze Fei-Izzuddin bermula agak perlahan apabila ketinggalan 9-14 dalam set pertama sebelum pasangan Korea Selatan memanfaatkan momentum tersebut untuk menguasai permainan dan menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-12.

Bagaimanapun, beregu nombor dua dunia itu bangkit mempamerkan aksi berkualiti dalam set kedua.

Dengan permainan lebih agresif dan kawalan rali yang kemas, Sze Fei-Izzuddin mendahului 11-5 ketika selang masa sebelum terus menguasai permainan untuk menang bergaya 21-11, sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Namun, momentum itu gagal diteruskan dalam set ketiga apabila beberapa kesilapan mudah pada awal permainan memberi ruang kepada Kim Won Ho-Seo Seung Jae membuka jurang mata.

Pasangan Korea Selatan itu mendahului 11-9 ketika pertukaran gelanggang sebelum memperkemaskan permainan pada separuh kedua set untuk menamatkan cabaran wakil Malaysia dengan kemenangan 21-13.

Walaupun gagal mara ke final, pencapaian separuh akhir masih meneruskan rentak konsisten Sze Fei-Izzuddin yang sebelum ini muncul juara Terbuka Indonesia, sekali gus membuktikan mereka kekal antara pasangan beregu lelaki paling berbahaya dalam Jelajah Dunia BWF musim ini.

Kini, tumpuan pasangan negara itu dijangka beralih kepada kejohanan-kejohanan seterusnya dengan misi untuk terus mengukuhkan kedudukan dalam ranking dunia serta memburu lebih banyak gelaran menjelang kemuncak musim.

Anda mungkin berminat dengan

adidas Football Argentina 26 Home Jersey Women White KA8125

adidas Football Argentina 26 Home Jersey Women White KA8125

New Balance 1000 - Grey

New Balance 1000 - Grey

Nike Men's Mercurial Vapor 17 Pro Firm-Ground Low-Top Soccer Cleats - Multi-Color [IO8225-900]

Nike Men's Mercurial Vapor 17 Pro Firm-Ground Low-Top Soccer Cleats - Multi-Color [IO8225-900]

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

adidas Football Spain 26 Home Fan Jersey Men Red JZ5780

adidas Football WORLD CUP OFFICIAL EMBLEM CAP Unisex Black KE7368

adidas Football WORLD CUP OFFICIAL EMBLEM CAP Unisex Black KE7368

Related Topics

Must Watch Video