Skip to main content

Ragbi

Terengganu perkasa ragbi melalui kontrak, insurans lebih komprehensif

Ragbi

Bermula musim ini, Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) mengambil langkah proaktif untuk memperkasakan pasukan khususnya melibatkan hal-hal kebajikan berkaitan kontrak pemain dan polisi insurans yang lebih komprehensif.

Pengurus pasukan Terengganu yang kini dalam kempen mengharungi kejuaraan Piala Agong edisi ke-42 musim ini, Mohd Haqiuddin Ali Rabu menyambut baik keputusan bersama oleh Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT) yang berusaha untuk memberi tambah nilai kepada pasukan khususnya buat setiap pemain itu sendiri.

Advertisement

“Umumnya sebelum ini pihak pengurusan pasukan mengambil insurans secara berkelompok namun setelah mengharungi pelbagai cabaran situasi sebelum ini, pihak PRNT mengambil keputusan untuk menginsuranskan secara individu bagi setiap pemain. Walaupun perlindungan insurans secara individu hanya melibatkan pemain-pemain tempatan, ianya tetap salah satu penambahbaikan yang positif untuk bermula bagi musim ini,” ujar Mohd Haqiuddin Ali Rabu selaku pengurus yang kini memasuki musim kedua bersama pasukan.

Jelasnya lagi, hanya pemain import di dalam pasukan yang dilindungi oleh insurans secara berkelompok oleh kerana beberapa syarat yang perlu dipersetujui bersama dengan syarikat perkhidmatan insurans, namun ianya tetap memberi kelebihan atau perlindungan buat setiap pemain. Selain itu setelah pemain - pemain tidak lagi bersama pasukan, mereka berhak untuk meneruskan caruman insurans tanpa sebarang tuntutan yang telah didahulukan oleh pasukan.

Tambahnya lagi, bermula musim ini pihak pengurusan pasukan mengamal dasar lebih terbuka berkaitan kontrak pemain tidak timbul sebarang isu-isu berbangkit yang sering kali berlaku oleh kerana salah faham di antara dua pihak.

Perkembangan ini juga disambut positif oleh bekas kapten kebangsaan Mohammad Nasharudin Ismail yang sekali lagi bersama Terengganu bagi memburu kejuaraan Piala Agong edisi kali ini.

“Sebarang perjanjian mahupun kontrak di antara pasukan dan pemain merupakan satu proses penting yang perlu dihormati sama ada dari pihak pemain kepada pasukan mahupun sesama dikalangan pemain itu sendiri. Jadi dengan pendekatan yang lebih terbuka di mana setiap pemain mengetahui isi kontrak masing-masing dan pihak persatuan juga secara terbuka memberi ruang buat setiap pemain untuk sebarang pertanyaan sebelum menandatangani kontrak, ianya memberi impak positif semangat berpasukan untuk memburu kejuaraan,” berkata Mohammad Nasharudin Ismail sebaik sahaja menandatangi kontrak bersama pasukan.

Untuk membuka tirai kempen memburu kejuaraan Piala Agong edisi ke-42 ini, Terengganu hadir selaku pasukan pelawat untuk bertemu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi aksi peringkat kumpulan yang dijadualkan berlangsung pada petang ini di Padang Astaka, Petaling Jaya.

Topik Berkaitan

Must Watch Video