Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), dalam satu kenyataan sebentar tadi, memaklumkan bahawa dua kemenangan Harimau Malaya, masing-masing ke atas Nepal dan Vietnam, dalam pusingan kelayakan Piala Asia tahun lalu dibatalkan.
Ia menyaksikan skuad negara kehilangan enam mata dalam kempen berkenaan.
Advertisement
"FAM telah menerima keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib & Etika Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang bersidang pada Selasa, 17 Mac 2026 berkaitan kes menurunkan pemain yang tidak layak," kata kenyataan itu.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib & Etika AFC, Jahangir Baglari, mendapati FAM telah melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib & Etika AFC kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam dua perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 berkenaan.
Sehubungan itu, Jawatankuasa Tatatertib & Etika AFC telah membuat keputusan bahawa Malaysia diisytihar kalah dengan jaringan 0-3 dalam kedua-dua perlawanan itu berdasarkan Artikel 25.1 Kod Tatatertib & Etika AFC.
Selain itu, FAM turut dikenakan hukuman denda sebanyak AS$50,000 (RM196,119).
FAM akan membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib & Etika AFC sebelum mempertimbang langkah seterusnya.
Dengan penolakan enam mata itu, skuad negara sah tidak layak ke Piala Asia 2027.