Skip to main content

Bola Sepak

(Terkini) Pengadil dari luar negara kemudi aksi final Piala Malaysia antara JDT dan Kuching City

sds

Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan akan menggunakan khidmat pengadil dari luar negara bagi mengemudi perlawanan akhir Piala Malaysia 2025/26 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kuching City pada 23 Mei nanti.

Presidennya, Dato’ Ab Ghani Hassan, berkongsikan telah membuat permohonan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam memilih pengadil terbaik untuk mengadili aksi di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil, itu nanti.

"Pihak MFL telah membuat permohonan rasmi kepada FAM untuk mendapatkan empat pengadil luar negara termasuk dua pembantu pengadil dan satu pengadil VAR (Video Bantuan Pengadil).

"Keputusan untuk menggunakan kepakaran pengadil luar negara ini dibuat sebagai langkah untuk memastikan mutu pengadilan berada pada tahap terbaik selain menjamin integriti dan kelancaran perlawanan akhir yang menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air.

"Kemuncak aksi final Piala Malaysia ini sudah pasti perlawanan yang berprofil tinggi jadi dengan standard pengadilan bertaraf antarabangsa, saya percaya ia akan meningkatkan pengalaman pertandingan kepada pemain, pegawai pasukan dan penyokong.

"Malah dengan kehadiran pengadil luar negara ini, ia juga sebagai pertukaran kepakaran di mana pengadil tempatan dapat mempelajari sedikit sebanyak ilmu dalam usaha kita membangunkan kualiti pengadil tempatan.

"MFL sentiasa mendengar cadangan Rakan Kongsi untuk sebarang penambahbaikan dalam semua aspek pengelolaan perlawanan namun dalam penggunaan pengadil luar negara, MFL perlu membuat pertimbangan yang baik apatah lagi ia melibatkan kos yang tinggi.

"Bagaimanapun langkah ini bukanlah sesuatu yang baharu dalam saingan domestik di mana sebelum ini khidmat pengadil dari Jepun pernah digunakan bagi mengadili Final Piala FA 2019 antara Kedah dan Perak." katanya.

Untuk rekod, kali terakhir perkara itu dilakukan adalah dalam final Piala FA 2019 antara Perak dan Kedah, dengan Takuto Okabe dari Jepun menggalas tanggungjawab selaku pengadil perlawanan dibantu oleh dua penolong pengadil iaitu Akane Yagi dan Osamu Nomura.

Must Watch Video